Monday, September 19, 2011

PENDAFTARAN NIKAH

PENDAFTARAN NIKAH


Izin Pejabat Agama
Sebaik-baiknya, pasangan yang ingin kahwin di Thailand atas apa-apa sebab (termasuk tak mendapat izin wali atau tanpa kebenaran poligami dari isteri) hendaklah terlebih dahulu mendapatkan surat kebenaran untuk nikah di luar negara dari Pejabat Agama di negeri masing-masing. Ini akan melibatkan beberapa langkah, seperti menghadiri kursus pra-perkahwinan, mendapatkan surat kebenaran poligami (jika ingin berpoligami tapi tak mendapat izin isteri), mengemukakan surat akuan status diri (dara, janda atau balu) dan sebagainya.
Sekiranya berkahwin di Siam setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara, proses pendaftaran nikah Thailand di Malaysia akan menjadi lebih mudah setelah kembali dari Siam nanti.

Denda Nikah di Thailand
Sebaliknya, sekiranya berkahwin di Siam tanpa kebenaran Pejabat Agama, pasangan yang berkahwin itu boleh dikenakan denda dan dipenjara bagi kesalahan-kesalahan seperti
·                     Berkahwin diluar kawasan tanpa kebenaran ( penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)
·                     Poligami tanpa kebenaran ( penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)
·                     Mendaftarkan nikah selepas 6 bulan ( penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali)
Mendaftarkan Nikah Siam
Pendaftaran nikah Siam (atau lain-lain negara) hanya boleh dibuat setelah mendapat pengesahan dari Mahkamah Syariah. Selagi Mahkamah Syariah tidak memberi pengesahan, pernikahan itu tak boleh didaftarkan di Malaysia dan pasangan itu tidak diiktiraf oleh undang-undang syariah Malaysia sebagai pasangan yang telah berkahwin. Kesannya agak berat. Contohnya, anak yang lahir melalui perkahwinan ini akan menghadapi kesukaran untuk didaftarkan dengan JPN dan susah untuk mendapatkan surat beranak. Selain itu, apa-apa masalah dalam perkahwinan ini tak boleh dibawa ke Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah.
Pendaftaran nikah di Malaysia nanti akan memerlukan dokumen yang cukup untuk meyakinkan hakim bahawa pernikahan di Siam itu adalah sah. Surat nikah, surat dari Majlis Agama Songkhla dan surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Songkhla adalah diantara dokumen penting untuk membuktikan bahawa pernikahan itu adalah sah.
Daftar Nikah Asing - Proses dan Dokumen
·                     Kes yang tidak melibatkan poligami akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah.
·                     Kes yang melibatkan poligami akan didengar di Mahkamah Tinggi Syariah. Pasangan mungkin perlu melantik peguam syariah.
Sila lihat halaman berikut untuk maklumat lanjut:
               

Wilayah Persekutuan: Soalan Lazim
Bahagian Perkahwinan & Pembangunan Keluarga

(Disalin dari laman web JAWI)
  1. Sekiranya saya warga asing bolehkah saya bernikah di sini?
    Boleh sekiranya anda telah bermastautin di sini sekurang-kurangnya tiga bulan.
  2. Berapa lamakah proses untuk mendapatkan kebenaran nikah?
    Kurang dari satu jam sekiranya dokumen diserah lengkap.
  3. Sekiranya saya ingin bernikah di luar Kuala Lumpur bagaimana caranya?
    Semasa menghantar borang, tuliskan alamat tempat nikah anda di sana, anda akan diberi kebenaran untuk bernikah di sana.
  4. Sekiranya wali jauh bagaimana caranya?
    Dapatkan borang pengesahan wali jauh, bawanya kepada jurunikah di mana wali tinggal dan minta wali tandatangan dihadapannya. Kemudian kepilkan dengan borang B1.
  5. Adakah sijil kursus pra perkahwinan diwajibkan ke atas semua pemohon?
    Ya , kecuali yang disebut di bawah:
    • Bagi lelaki yang berumur 45 tahun ke atas dan perempuan berumur 40 tahun dan ke atas.
    • Orang Kurang Upaya (OKU).
    • Warganegara asing
  6. Bagi yang ingin masuk islam, di mana boleh diperolehi sijil atau kad yang diperakukan sah?
    Datang ke Unit Saudara Baru, JAWI atau ke mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri.
  7. Sekiranya saya belajar atau bekerja di luar negara contohnya England, Indonesia dan lain-lain, apa yang perlu dilakukan untuk bernikah? Adakah saya perlu dapatkan kebenaran dari JAWI terlebih dahulu?
    Anda perlu bernikah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di sana terlebih dahulu. Kemudian anda melaporkan pernikahan anda di kedutaan malaysia di sana, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh kedutaan. Sejurus anda tiba di malaysia anda hendaklah mendaftarkan perkahwinan anda di JAWI dalam tempoh tidak lebih enam bulan dari tarikh anda tiba di malaysia.
  8. Adakah kahwin lari di Thailand sah?
    Jika anda bernikah menggunakan wali hakim yang telah dilantik oleh pihak berkuasa di sana, maka pernikahan anda adalah sah. Sekiranya wali hakim tadi menikahkan anda di luar kawasannya maka pernikahan tadi tidak sah.

Selangor: Senarai Dokumen Sokongan Permohonan Pendaftaran Nikah Siam

Setiap Negeri mempunyai syarat-syarat sendiri untuk pendaftaran kahwin di Thailand atau dimana-mana negara luar.
Sebagai contoh, berikut adalah dokumen-dokumen yang perlu diserahkan sebagai sokongan untuk permohonan pendaftaran perkahwinan di Selangor, bagi perkahwinan yang berlangsung diluar Malaysia, termasuk untuk daftar nikah sindiket yang sah.
  • Surat kebenaran berkahwin/berpoligami (jika ada)
  • Kad pengenalan
  • Pasport
  • Surat Nikah
  • Terjemaham Surat Nikah (jika yang asal bukan dalam BM)
  • Daftar Pemeriksaan Nikah (Bagi yang nikah di Indonesia)
  • Surat/Dokumen Pengesahan Nikah dari Konsul Malaysia di negara berlakunya pernikahan
  • Surat nikah suami dengan isteri yang terdahulu (jika berkenaan)
  • Surat nikah isteri dengan suami yang terdahulu (jika berkenaan)
  • Surat/dokumen kematian suami/isteri yang terdahulu (jika berkenaan)
  • Surat/dokumen kematian bapa kandung isteri (jika berkenaan)
  • Surat/dokumen perceraian dengan bekas suami/isteri yang terdahulu (jika berkenaan)
  • Surat/dokumen nikah ibu/bapa isteri (jika isteri anak sulong/wali adalah abang lelaki sulong)
  • Surat/dokumen wakalah wali (sekiranya pernikahan dijalankan oleh wakil wali)
  • Bahan sokongan yang lain, jika ada (contoh: gambar, pita rakaman akad nikah, dll)
  • Surat/dokumen kelahiran anak-anak (sekiranya pasangan berpoligami)
  • Hasil ujian HIV oleh klinik kerajaan, yang asal dan salinan (bagi pasangan)
  • Sijil kursus pra-perkahwinan oleh kerajaan

Prosedur Pendaftaran Nikah

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mendaftarkan nikah yang berlangsung di luar negara:
  • Pergi ke Pejabat Agama berhampiran dan dapatkan borang dan arahan pendaftaran nikah asing
  • Isi borang tersebut dengan lengkap, sertakan semua dokumen yang dikehendaki dan kembalikan kepada Pejabat Agama. Senarai dokumen yang dikehendaki berbeza dari negeri ke negeri, tapi sebagai contoh ini senarai dokumen yang diperlukan di Selangor.
  • 2 atau 3 minggu kemudian, pendaftar nikah akan memanggil untuk temuduga
  • Pergi ke mahkamah syariah untuk perbicaraan pengesahan nikah
  • Setelah nikah disahkan oleh mahkamah, pendaftar nikah akan membawa kes "nikah diluar kawasan tanpa kebenaran", poligami tanpa kebenaran" dan sebagainya, ke mahkamah, jika berkenaan. Jika sabit kesalahan, mahkamah akan mengenakan hukuman
  • Setelah selesai semuanya, barulah nikah itu didaftarkan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.